KB SENTRAL BAKAL JADI HUB PENGANGKUTAN BERKUALITI DI KELANTAN

KOTA BHARU – Kerajaan Negeri mengambil serius pembangunan infrastruktur di negeri Kelantan terutamanya dalam aspek penyediaan kemudahan awam termasuk sistem pengangkutan, kerana ia menjadi faktor utama dalam menarik pelabur serta meningkatkan daya saing ekonomi negeri.
“Seiring dengan pembangunan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), pembangunan KB Sentral bakal menjadi hub pengangkutan berkualiti di Kelantan,” kata Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob di Majlis Penyerahan Surat Untuk Pemaju Projek Pembangunan KB Sentral di Grand Renai Hotel, hari ini.

Kata beliau juga, melalui tawaran secara terbuka oleh Kerajaan Negeri kepada mana-mana agensi yang berkemampuan serta berpengalaman untuk membangunkan projek tersebut, Syarikat WIDAD Group Berhad telah terpilih merealisasikan projek KB Sentral secara penswastaan yang mana kos tanah dan pembangunan projek tersebut ditanggung sepenuhnya oleh syarikat pemaju.
Mengulas lanjut perkara tersebut, Ahli Lembaga Pengarah Widad Group Berhad Nor Adha Yahya berkata bagi projek tersebut akan dibina di atas tapak berkeluasan lima ekar yang boleh memuatkan 4,000 orang atau penumpang dalam satu-satu masa dan dijangka siap pada penghujung tahun 2026.
“Antara komponen yang bakal dibangunkan ialah terminal bas, teksi dan e-heiling, pusat perniagaan, kemudahan riadah dan keramaian, 360 unit kondotel dan surau yang berkapasiti 300 jemaah dalam satu-satu masa,” katanya.

Selain majlis penyerahan surat lantikan pemaju oleh Setiausaha Kerajaan Kelantan (SUK) Dato’ Kaya Setia Nazran Muhammad kepada Ahli Lembaga Pengarah Widad Group Berhad Nor Adha Yahya yang disaksikan oleh YAB Menteri Besar Kelantan, turut disampaikan ialah mock cek RM2 juta sebagai bayaran pembangunan tanah oleh Syarikat WIDAD Group Berhad kepada Kerajaan Negeri.