PEMIMPIN KELANTAN SANTUNI PERANTAU BERIFTAR

SELANGOR – Kerajaan Negeri Kelantan menyantuni mahasiswa perantau di Lembah Klang dengan bertadarus al-Quran dan beriftar bersama-sama dalam Majlis Ihya’ Ramadan di Bangi Convention Center, Bandar Baru Bangi, semalam.
Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, Majlis Ihya’ Ramadan bertujuan bagi mengeratkan ukhwah pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan bersama anak perantau.
Katanya, Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa cakna akan kebajikan, keselamatan dan perkembangan semasa anak perantau Kelantan terutamanya golongan muda yang berpendidikan tinggi dan menetap di luar negeri.

Tambah beliau, melalui program Ihya’ Ramadan bukan sahaja menerapkan aktiviti berlandaskan Islam bahkan program tersebut juga dapat mengeratkan kemesraan di antara pemimpin dengan para pelajar daripada berlainan institusi di Selangor.
“Program seperti Ihya Ramadan dan Madinah Ramadan yang diadakan di Kelantan juga antara langkah proaktif Kerajaan Kelantan untuk menghidupkan bulan yang mulia ini selaras dengan dasar Kerajaan Negeri iaitu Merakyat Membangun Bersama Islam (MMBI),” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, kehadiran dan sambungan hangat daripada anak perantau pada tahun ini terhadap program serta aktiviti kerajaan negeri membuktikan, kepercayaan dan kesetiaan rakyat Kelantan terhadap pemimpin mampu untuk mentadbir negeri Serambi Mekah itu selama 33 tahun.

Turut hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah, Ahli Parlimen Machang, YB Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ahli Parlimen Bachok, YB Syahir Che Sulaiman dan Ahli Parlimen Pasir Puteh, YB Datuk Dr Nik Zawawi Salleh.