Tentang PERAKAN MALAYSIA


PERAKAN MALAYSIA

Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (PERAKAN MALAYSIA) atau nama ringkasnya PERAKAN ialah sebuah NGO Anak Negeri yang ditubuhkan dengan objektif utamanya sebagai jambatan Penghubung antara Anak-anak Kelantan yang berada di luar Kelantan dengan Kerajaan Negeri Kelantan. PERAKAN juga telah diiktiraf sebagai Duta Kecil Kerajaan Negeri Kelantan.

PERAKAN telah diluluskan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 8 Disember 2006 sebagai pertubuhan yang sah disisi undang-undang Malaysia dengan No. Pendaftaran 1780-06-WKI.

Antara idea awal penubuhan persatuan ini ialah di atas hasrat YAB Menteri Besar Kelantan TG Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, betapa perlunya sebuah persatuan yang dapat berhubung secara lansung dengan anak-anak negeri yang berada di seluruh pelosok tanah air.

Bagi meralisasikan, hasrat murni tersebut maka Timbalan Menteri Besar YB Ustaz Dato' Abdul Halim Abdul Rahman bersama Us Abdul Fattah Haron, Us Wan Mohd Jamil Mahmood dan bersama beberapa mereka yang lain telah diberi tanggungjawab dan seterusnya mengambil inisiatif awalan untuk menubuhkan sebuah persatuan anak Kelantan di luar Kelantan.

Di antara objektif awal penubuhan adalah untuk mengumpulkan para cendiakawan, profesional, guru, ustaz, ustazah dan korporat di luar Kelantan bagi menyumbang idea ke arah membantu Kerajaan Kelantan di dalam pelbagai bidang kepakaran.

Hasilnya terbentuk Penaja Persatuan Anak kelantan Perantauan dengan beberapa objektifnya yang tersendiri termasuklah kebajikan ahli-ahli perantau sehinggalah mempertahankan Kerajaan Islam Kelantan.

Setelah beberapa siri mesyuarat dan pertemuan, maka pada 20hb Mac 2003, amka lahirlah sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Anak-Anak KElantan di Perantauan (PERAKAN) MALAYSIA) dan berjaya dilancar dalams atu majlis gilang-gemilang di Hotel Nikko, Kuala Lumpur yang dirasmikan oleh Al-Marhum YAB Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Presiden penaja pada waktu itu ialah Tuan Hj. Che Ariffin bin Che Mahmood.


Transformasi PERAKAN MALAYSIA

Setelah PERAKAN dilancarkan, persatuan telah berjaya bergerak dengan lebih tersusun di mana Presiden PERAKAN telah dibantu dengan Ahli Jawatankuasa iaitu Tuan Hj.Mohd Nazri Mohd Noor selaku Timbalan Preside, En Alex Ong dan Puan Hajjah Wan Hasrina Wan Hassan masing-masing sebagai Naib Presiden di samping En. Wan Mohd Johari Wan Omar selaku setiausaha dan Tuan Hj. Mat Arifin Ismail sebagai bendahari dan lain-lain ahli jawaankuasa.

Di Peringkat permulaan PERAKAN bergerak melalui entiti perniagaan iaitu Perakan Network Sdn.Bhd. manakala Perakan.net sebagai website rasmi.

Antara program besar yang dianjurkan PERAKAN secara lansung ialah Majlis Mesra Eidulfitri yang dilaksanakan pada 2 Syawal setiap tahun.

Dalam pada itu PERAKAN telah mengambil langkah ke hadapan dengan menambahbaik Draf Undang-undang Tubuh Persatuan sehinggalah pada bulan Disember 2006, PERAKAN telah diluluskan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) dengan nama baru iaitu Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (PERAKAN MALAYSIA) dengan menggunakan website rasmi perakan.org.my.